FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

PENDIDIKAN DI MALAYSIA ADALAH SATU USAHA BERTERUSAN KE ARAH MEMPERKEMBANGKAN LAGI POTENSI INDIVIDU SECARA MENYELURUH DAN BERSEPADU UNTUK MEWUJUDKAN INSAN YANG SEIMBANG DAN HARMONI DARI SEGI INTELEK, ROHANI, EMOSI, DAN JASMANI BERDASARKAN KEPERCAYAAN DAN KEPATUHAN KEPADA TUHAN
MISI SEKOLAH

MELAHIRKAN MODAL INSAN CEMERLANG MELALUI PENDIDIKAN BERKUALITI BERLANDASKAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

06 Jun 2009

KETRAMPILAN

Ramai murid yang agak malu apabila dijemput untuk naik ke pentas atau diminta tampil di depan khalayak sama ada untuk berucap, berpidato atau membuat persembahan. Lazimnya, murid akan saling tolak-menolak menyuruh rakannya untuk ke hadapan. Alangkah ruginya murid itu kerana mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan kepadanya.

Sebenarnya masalah malu untuk berkomunikasi secara formal sudah menjadi budaya dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan juga murid sekolah rendah. Malah budaya ini terbawa-bawa hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Budaya yang negatif ini sewajarnya dibendung di peringkat sekolah rendah.

Murid mungkin beranggapan ia satu perkara yang remeh tetapi hakikatnya ia adalah satu proses ketrampilan diri yang mampu mempengaruhi motivasi diri dalam pembelajaran. Antara ciri-ciri pembentukan ketrampilan diri ialah:

• Keberanian: Seseorang murid yang berketrampilan ialah mereka yang berani muncul di hadapan untuk memberi pendapat, membuat persembahan atau sekurang-kurangnya memberi jawapan apabila ditanya atau secara sukarela.

• Aras harga diri yang sihat: Kemunculan diri menjadikannya merasai bahawa ia dihargai. Dengan secara tidak lansung akan meningkatkan aras harga diri yang sihat iaitu satu sikap menghargai potensi yang ada pada diri serta mengambil peluang melakukan tindakan yang positif ke arah kemajuan diri dan juga memberi sumbangan kepada orang lain.

• Menjana minda: Apabila seseorang murid itu sentiasa menggalakkan dirinya berinteraksi maka mindanya akan sentiasa bergerak untuk mencari buah fikiran yang baru. Dengan cara ini seseorang murid dapat memperkayakan daya pemikirannya yang seterusnya mampu membantunya dalam peperiksaan nanti.

• Berdaya saing: Murid-murid boleh melibatkan diri dalam berbagai aktiviti seperti aktiviti dalam bilik darjah yang berkaitan dengan pembelajaran ataupun dalam aktiviti luar bilik darjah seperti dalam sesuatu pertandingan atau menjawat sesuatu jawatan dalam persatuan. Aktiviti seumpama ini boleh mewujudkan semangat berdaya saing secara sihat. Semangat seperti ini amat diperlukan kerana ia boleh meningkatkan daya kreativiti serta keinginan untuk berlumba-lumba melakukan sesuatu yang terbaik ke arah kejayaan.

• Peningkatan kemahiran: Kemahiran berkomunikasi, kemahiran berbahasa serta kemahiran dalam pengucapan awam memerlukan penglibatan murid dalam sesuatu aktiviti. Penglibatan ini penting kerana ia merupakan satu bentuk latihan amali yang perlu dilakukan. Kekerapan penglibatan seseorang murid akan dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan serta memperkembangkan potensi dan kemahiran diri.

Sesungguhnya setiap murid harus mempunyai ciri-ciri ketrampilan diri tersebut. Ia merupakan satu keperluan terhadap diri sendiri dalam mencapai cita-cita dan memenuhi aspirasi negara.

oleh Dr. Ismail Zain.

0 ulasan:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP